Saturday, October 10, 2015

Mee Rebus Johor -Ala Hj Wahid

Salam semua,

Hari ini aku nak kongsi salah satu makan popular di Johor Bahru ...jika tak singgah dan pekena Mee Rebus Hj Wahd memang rugi la.,.. Kalau nak merasa Mee Rebus Hj Wahid ini bolehlah singgah  di Plaza Angsana atau pun di Taman Rinting.

Untuk yang di Jeddah ini, aku kongsikan resipi yang aku guna untuk hidangan geng-geng bowling aku.

Oleh kerana ada permintaan dari geng-geng bowling nak makan mee rebus...maka aku beranikan diri untuk buat kuah Mee Rebus..ala-ala Hj Wahid.


Mee Rebus 

Bahan-Bahan Yg digunakan: ( untuk 2 Kilo Mee)

  • Mee Kuning -2 Kilo yang di celur
  • Daging /Tetel - 1/2 kilo di rebus sehingga empuk dan di hiris halus.
  • Ubi Keledek  / Kentang - 6 biji di direbus dan di kisar halus.(* Keledek oren sesuai dengan rasa manis dan dapat menambah kelemakan kuah)
  • Taucu - 1 cawan  ( dicuci untuk mengurangkan rasa masin dan di kisar)
  • Bawang Merah - 6 ulas *
  • Bawang Putih - 3 ulas *
  • Halia - 1 inci  *
  • Udang Kering - 1/2  cawan * ( di rendam terlebih dahulu kemudian di kisar halus)
  • Serai - 3 batang di titik
  • Lengkuas - 1 inci di titik
  • Kerisik - 1 sudu makan
  • Rempah Kari Daging  - 5 sudu besar
  • Asam Keping - 2 keping
  • Lada Cili Blender - 4 sudu besar
  • Kacang goreng - 1/2 cawan -optional  ( di goreng dan di blender)
  • Gula Melaka  
  • Serbuk perasa , garam/gula/ serbuk 3 rasa magie
(*) - Di kisar Halus

Bahan Untuk keropok Udang:
  • Udang Kering - 1/2 cawan di kisar halus
  • Udang pepai - 1/2 cawan di kisar halus
  • Tepung gandum  -2 sudu besar
  • Tepung Beras - 2 sudu besar
  • Serbuk Kunyit - 1 sudu teh
  • Telur - 1 biji
  • Sedikit garam.
Bahan-Bahan Hiasan:
  • Tahu yang di goreng dan dipotong halus
  • Daun Sup - dihiris halus
  • Bawang Goreng
  • Telur Rebus , dibelah dua
  • Lada Hijau - di Hiris bulat  dan kasar
  • Taugeh - dicelur
  • Limau Kasturi - dibelah dua
Cara Menyediakan Mee Rebus Haji Wahid:
-------------------------------------------------------
Penyediaan  Udang Goreng Tepung.

Gunakan minyak yang banyak untuk mengoreng dengan minyak yang betul-betul panas supaya kerupok tidak menyerap minyak yang banyak.Cara gorengnya macam kita buat serdak atau keriuk-keriuk ketika mengoreng pisang.Kita boleh juga menitik-nitik terus ke dalam minyak dengan menggunakan sudu. Jangan banyak-banyak pulak nanti dah jadi macam jemput-jemput pulak. Cara yang aku guna adalah dengan menuang dari tepi kuali meleleh ke minyak panas
Bila dah garing,angkat dan toskan minyak dia. Bila dah sejuk simpanlah di dalam bekas telap udara supaya kerangupan kekal.


Penyediaan Kuah Mee Rebus:

  • Panaskan minyak di dalam periuk.
  • Bila dah panas tumis serai dan lengkuas dan masukkan bahan kisaran tadi.Tumis sehingga naik bau dan terbit minyak
  • Masukkan udang kering kisar ke dalam tumisan. Kemudian masukkan rempah kari daging dan lada cili blender. Tumis lah sehingga betul-betul garing dan pecah minyak
  • Setelah itu masukkan daging yang telah direbus dan dipotong bersertakan dengan air rebusan daging.
  • Masukkan keledek/kentang yang telah dikisar dan gaul sehingga sebati. Kemudian di masukkan kerisk dan taucu yang telah dikisar. 
  • Masukkan asam keping dan biarkan sehingga mendidih.
  • Perasa kuah dengan garam dan gula. Perlu berhati-hati dengan sukatan garam sebab taucu yang digunakan juga sudah masin.
  • Untuk kuah mee rebus, rasa kuahnya manis tetapi tidak terlalu manis.
  • Setelah mendidih, perlahan kan api dapur untuk tujuan mereneh, Renehlah sehingga kuah mee rebus menjadi pekat. dan tidak terlalu cair.
SELAMAT MENCUBA.




Friday, October 2, 2015

Chili & Cheese Macaroni

Salam semua...

Hari ini aku nak berkongsi makanan "Western" iaitu  "Chili & Cheese Macaroni".

"Chili  & Cheese Macaroni" ini aku gabungkan kan dengan sedikit chili serbuk dan digabungkan dengan Mozzarella Cheese membuatkan sentuhan ini cukup terangkat. Cukup sesuai untuk minum petang.

Juadah ini aku sediakan untuk tetamu aku pada petang ini ..tetamu dari Riyadh yang  datang ke Jeddah setelah selesai menunaikan ibadat Umrah.

Alhamdulilah licin  dia orang ini makan... tersenyum aku, hilang rasa penat kelam kabut menyediakan juadah untuk minum petang.



Chili & Cheese Macaroni

Bahan- Bahan Yang Di Gunakan:
  • Makaroni "Elbow" - 2 cawan
  • Minyak masak 
  • Daging cincang - 300 Gram
  • Bawang Holand  - 2 biji sederhana besar ( Di cincang)
  • Lada Bangala Merah - 1 biji di potong dadu dan di rebus lembut.
  • Bawang Putih - 6 ulas  dicincang 
  • Lada serbuk - 1 1/2  sudu makan
  • Jintan manis - 1 sudu teh
  • Tomato - 2 biji dipotong dadu.
  • Tomato paste - 1 kotak kecil 
  • Gula Merah ( Brown Sugar) - 1 sudu besar
  • Cheese - Mozzarella cheese  3 cawan. 
  • Lada Hitam .
# Panaskan Oven  dengan kepanasan suhu 180 celcius.

Cara Membuatnya:
  • Rebus Makaroni "elbow"  sehingga lembut dan dimasukkan 1 sudu garam. Setelah empuk toskan makaroni. Asingkan air rebusan tadi dalam 1/2 cawan untuk digunakan kemudian.
  • Ambil kuali dengan sedikit minyak  goreng daging cincang sehingga masak (warna keperangan). Setelah masak asingkan daging .
  • Dengan menggunakan kuali yang sama, masukkan sedikit minyak dan tumis bawang putih dan bawang holland yang telah dicincang tadi sehingga layu. Kemudian masukkan tomato yang di potong dadu, jintan manis serbuk cili, dan lada bangala.
  • Masukkan tomato paste,gula merah dan juga air rebusan yang di asingkan tadi dan kemudian di masukkan daging yang telah goreng sebelumnya. Teruskan memasak selama 15 minit dan bolehlah perasa dengan garam dan  gula.
  • Kemudian campurkan semua bahan-bahan yang telah dimasak tadi dengan makaroni dan 2 cawan cheese dan digaul sehingga sebati. 
  • Masukkan ke dalam bekas pembakar / mangkuk yang boleh digunakan di dalam oven dan di taburkan sedikit lada hitam di bahagian atas
  •  Masukkan ke dalam oven dan dibakar selama 30 /35 minit dengan suhu 180 celcius.
  • Setelah cukup waktu ..keluarkan dan taburkan baki secawan cheese ke atas makaroni tadi dan teruskan pembakaran selama  5 minit. 
  • Setelah permukaan atas  sedikit keperangan  bolehlah di keluarkan dari oven dan bolehlah dihidangkan bersama teh atau kopi panas.

SELAMAT MENCUBA

Wednesday, August 26, 2015

Lamb Chop

Salam semua...hari ini aku nak kongsi masakan ala-ala western. Lamb ini aku beli 2 hari lepas selepas game bowling aku., Mulanya sekadar menjamu mata melihat barang-barang dapur...sehinggalah sampai ke bahagian daging. Terpandang sahaja lamb yang disusun cantik  terus terliur nak makan lamb chop..

Ada pelbagai kaedah menyediakan lamb chop ini dan resipi yang aku kongsikan ini asalnya dari masakan Italiano Grill. Disebabkan  resipi asal mengunakan campuran white wine., jadinya aku terpaksa mengodam resipi asal untuk di versikan kepada Inspirasi Dapurku,

Lamb Chop
Penyediaan  Bahan Lamp Chop:

  • Lamb Chopped -1 kg
  • Herba Rosemary  - 1 sudu teh
  • Herba Thyme - 1 sudu teh
  • Serbuk Lada Hitam  - 1 sudu besar
  • Serbuk Kunyit - 1 sudu teh
  • Bawang putih - 2 ulas  dicincang halus
  • Serbuk Jintan Manis - 1 sudu teh
  • Serbuk Jintan Putih - 1 sudu teh
  • Serbuk Ketumbar - 1 sudu teh
  • Lemon  - perah dan ambil jusnya ( 1 sudu  makan)
  • Garam dan Gula  secukup rasa
  • Minyak Zaitun
# Bahan-Bahan tadi digaul bersama dengan Lamb chop yang telah dibersihkan dan di masukkan ke dalam plastik yang bertutup.  Perapan ini di simpan di dalam peti ais selama 5-8 jam untuk mendapatkan perapan yang baik.

# Sekiranya tidak ada serbuk boleh lah ditumbuk halus bahan-bahan diatas.

Cara Membuatnya:
  • Letakkan Lamb Chop yang telah diperap tadi di atas dulang pemnbakar yang sudah dibalut dengan  "Aluminium Foil"  
  • Dengan suhu 180 Celsius bakarlah Lamb Chop selama 25-35 minit. 
  • Keluarkan dari oven dan bolehlah di sapukan sedikit madu dipermukaan lamb chop .

Penyediaan Bahan Kentang dengan Brown Sos
  • Kentang  - 3 biji dibersihkan dan di rebus sehingga empuk dan lembut., Semasa merebus masukkan sedikit garam.
  • Bawang Besar  - 1 biji di potong dadu.
  • Mentega - 1 sudu besar
  • Tepung Gandum - 2 sudu besar.
  • 1 liter air 
  • 1 Sudu besar kicap
  • 1 Sudu besar sos chili
  • 1 Sudu besar serbuk lada hitam
  • 1/2 kiub perasa ayam
  • Sedikit garam dan gula.
Cara Membuatnya :
  • Kentang yang telah empuk dan lembut dikeluarkan dari dalam  periuk dan bolehlah dibakar di dalam oven dengan suhui 180 Celsius selama 15 minit. Setelah itu dikeluarkan dan lenyek. Untuk menjadikan kentang ini menjadi gebu, masukan sedikit fresh milk/susu segar dan dikacau. 
  • Untuk menyediakan "Brown Sos",masukkan mentega ke dalam periuk dan masukan bawang besar dan tumislah sehingga layu.
  • Tepung gandum di larutkan ke dalam air sehingga rata dan tuangkan ke dalam tumisan tadi,
  • Masukan bahan-bahan yang lain dan kacau atas api yang sederhana sehingga menjadi pekat. dan bolehlah matikan api dapur.
Penyediaan Salad :
  • Tomato - 1 biji dipotong dadu
  • Bawang Holland  - 1 biji di potong dadu
  • Lada Bangala - 1 biji di potong dadu
  • Cendawan Butang - 1 cawan  yang telah dihirs kasar.
  • Sos Tiram  - 2 sudu besar
  • Minyak Zaitun - sedikit
  • Garam dan Gula
# Boleh dicampurkan pelbagai salad... disebabkan itu sahaja ada di dapur aku

Cara membuatnya :
  • Tumis bawang holland sehingga layu dan masukkan lada bangala. 
  • Setelah agak layu masukkan tomato dan juga cendawan dan bolehlah di masukkan sos tiram
  • Perasa  dengan garam dan sedikit gula

Setelah semuanya siap bolehlah dihidangkan panas-panas dan sudah pastikan hidangan ini menyelerakan untuk seisi keluarga.

SELAMAT MENCUBA

Sunday, August 16, 2015

Sup Ekor Lembu.

Salam kepada semua...minggu ini dah ada wap-wap aura rajin ke dapur  Hari ini aku nak berkongsi salah satu masakan kegemaran aku..iaitu SUP EKOR. 

Sebenarnya 4 hari lepas aku dah makan pun sup ekor  bersama dengan kawan-kawan di Felda Disaji Jeddah semperna meraikan seorang dari rakan aku akan pulang ke Malaysia. Kira inilah kali pertama aku ke Restoran Malaysia Dsaji Felda.. Well terus terang SUP EKOR yang kita orang order ini tak menepati cita rasa tekak aku. ...GAGAL.

Semalam aku ke Serawat Superstore dengan harapan mencari EKOR untuk di buat sup. Alhamdulilah dapat lah 2 peket untuk aku menjamu selera hari ini.

Wife aku siap ketawa bila aku komplen masakan sup ekor..." Amboi  macam balas dendam jer siap bersup ekor hari ini"...

Terlanjur memasak bolehlah aku kongsikan resipinya sekali kepada semua.


SUP EKOR
Bahan-Bahan Yang Digunakan.
  • Ekor Lembu - 500 gram ( direbus terlebih dahulu sehingga lembut)
  • Minyak Masak 
  • Serai -2 batang
  • Lengkuas - 2 inci ( Di ketuk)
  • 4 Sekawan - (1 batang kayu manis,2 kuntum bunga lawang, 4 kuntum bunga cengkih dan 2 biji buah pelaga)
  • Halia - 2 inci ( Di Ketuk)
  • Cili padi - 4 ulas 
  • Ketumbar - 1 sudu teh ( dikisar halus)
  • Jintan Putih - 1 sudu besar (di kisar halus)
  • Jintah manis - 1 sudu teh  (dikisar halus)
  • Sup bunjut adabi - 1 bunjut
  • Lada Hitam - 1 sudu besar.
  • Bawang Merah - 8 ulas ( dihiris nipis)
  • Bawang Putih - 3 ulas  (dihiris nipis)
  • Batang Saleri - di kerat-kerat halus
  • Garam dan Gula sebagai perisa
  • Bawang goreng -hiasan.
  • Daun Sup - Hiasan
  • Sambal kicap ( optional- ada lagilah sedap)
Cara Membuatnya:
  • Cuci Ekor lembu dan rebuslah sehingga empuk. Kaedah aku guna dengan memasukkan sehelai daun pandan ketika merebus supaya cepat empuk.
  • Masukkan minyak masak dan bolehlah mula menumis bawang besar dan bawang putih sehingga layu.Kemudian dimasukkan 4 sekawan dan teruskan menumis.
  • Masukkan serai yang telah dititik dan kacau bersama bahan tumisan.
  • Masukkan Ketumbar,Jintan Putih dan Jintan manis yang telah dikisar tadi dan gaul sebati dengan bahan tumisan. Masukkan juga halia dan lengkuas .
  • Masukkan ekor lembu tadi dan gaul seketika bersama dengan bahan-bahan yang dicampurkan sebelumnya,
  • Masukkan lebihan air rebusan sup ekor tadi dan bolehlah ditambahkan air. dan masukkan sup bunjut.
  • Biarkan memasak sehingga mendidih dan bolehlah di masukkan lada hitam ,gula dan garam.
  • Bolehlah di kecilkan api untuk mereneh sup.Ketika mereneh sup dengan api yang kecil ini bolehlah dimasukkan batang saleri atau daun sup. dan bawang goreng. ( Biasa aku mereneh ini dalam 5-10 minit).
  • Setelah itu matikan api dapur dan boleh lah dihidangkan panas-panas.. 
SELAMAT MENCUBA

Friday, August 14, 2015

Bubur Lambuk

Salam.. dah bersawang blog aku ini sejak dari ramadan tanpa update terkini> Sekarang ini  dah nak masuk penghujung syawal baru lah ada kelapangan membuat update.

Pagi ini terasa teringin nak makan bubur lambuk ...rasanya ini dah masuk ke 4 kali aku membuat bubur lambuk . Dalam bulan ramadan yang lepas adalah kawan malaysia di Jeddah ini yang menempah  bubur lambuk. Aku tolong masakan jer...hahah terperanjat yang datang berbuka bila tengok bubur lambuk. Licin dia orang kerjakan. Alhamdulilah.

Al kisah bubur lambuk kaedah aku ini adalah gabungan dari aliran Johor dan Kelantan. So aliran johor penyediaan awalnya ada menumis manakala sebelah Kelantan tidak...Di bawah ini resipi penuh yang aku guna untuk membuat bubur lambuk dari cetusan Insipirasi Dapurku.



Bubur Lambuk

Bahan-Bahan Penyediaan:
  • Daging di potong dadu - 200 gram di rebus sehingga lembut.( Air rebusan jangan di buang)
  • Ikan kembung - 3 ekor di bersihkan dan direbus ( air rebusan jangan dibuang).
  • Udang kering - 1 sudu besar.
  • Beras - 2 cawan beras biasa , 1 cawan beras siam.
  • Santan - 2 cawan 
  • Kerisik - 1 sudu besar
  • Rempah tumis - 4 sekawan
  • Minyak Sapi - 1 sudu besar
  • Kacang campur - 1 cawan
  • Kiub Ayam - 1 kiub
  • Sup Bunjut Adabi - 1 bunjut
  • Bawang goreng
  • Sayur-sayuran - Pucuk paku / Pucuk kang kong/ Daun Selasih (* boleh saja masuk semua kalau ada)
  • Budu - 2 sudu besar ( Perisa)
  • Serunding daging - hiasan. 
  • Lada Hitam - 2 sudu besar

Cara Penyediaan.
  • Blender isi  ikan rebus bersama dengan udang kering sehingga hancur dan ketepikan
  • Masukkan minyak sapi dan tumis 4 sekawan sehingga naik bau.Kemudian masukan daging yg di rebus tadi dan ditumis seketika.
  • Kemudian masukkan beras yang telah di tos kan dan digaul seketika di dalam periuk dan masukkan air rebusan daging  Masukkan Sup bunjut dan  kiub ayam. Tambahkan air sekira perlu.
  • Masak dan gaul sebentar dan masukkan kacang campur, dan lada hitam.
  • Masukkan isi ikan yang telah diblender tadi ke dalam periuk dan gaul rata.
  • Setelah mendidih masukkan pula kerisik dan bolehlah perasa bubur dengan garam dan gula. Masukkan 2 sudu budu sebagai penambah perasa bersertakan segenggam bawang goreng.
  • Setelah beras menjadi bubur, boleh lah dimasukkan santan, Sekiranya suka cair bolehlah tambah sedikit air.
  • Masukkan pucuk paku/sayur kangkong /daun selasih  dan gaul seketika dan bolehlah di matikan api dapur dan dihidang bubur lambuk ketika panas.
Selamat Mencuba

Wednesday, June 3, 2015

Kari Ayam Nyonya Kapitan

Salam semua...hari ini aku nak berkongsi masakan Nyonya yang mudah dan sedap. Masakan baba dan nyonya ini mempunyai peminatnya tersendiri lebih-lebih lagi berkait rapat dengan adat Melayu-Cina. Masakan begini mudah di dapati di negeri Melaka disebabkan komuniti ini masih ada lagi di negeri tersebut.

"KARI AYAM NYONYA KAPITAN".... satu masakan yang ringkas, mudah tetapi cukup menawan selera aku. Nama saja kari ..tetapi tidak menggunakan rempah kari ..hanya beberapa bahan yang mudah diperolehi lebih-lebih bagi aku yang duduk di perantauan.

Kari Ayam Nyonya Kapitan

Bahan-Bahan Yang Di Gunakan:

  • Ayam - 500 gram ( 1/2 ekor)  dibersihkan dan di potong kecil
  • Bawang Merah - 7 ulas
  • Bawang Putih -2 ulas
  • Kunyit hidup - 1.5 cm
  • Halia - 2.5 cm
  • Buah Keras  - 3 biji
  • Serai - 2 batang serai
  • Cili Kering -15 tangkai
  • Lada Merah - 5 biji
  • Belacan- 1/2 sudu teh ( aku guna serbuk belacan bakar)
  • Santan - 300 ml 
  • Kentang - 2 biji dibelah 4
  • Daun Limau - dihiris halus sebagai hiasan
  • Air secukupnya
  • Garam dan Gula sebagai perasa.
  • Minyak untuk mengoreng ayam&kentang dan juga untuk menumis
(# sekiranya tidak ada cili kering /lada merah bolehlah guna cili boh - 1 1/2 sudu besar)

Cara Penyediaan :
  • Kisar bawang merah,bawang putih,kunyit hidup,buah keras halia,cili kering,lada merah dan juga serai dan dimasukan sedikit air. Biarkan kisaran menjadi halus dan ketepikan.
  • Panaskan kuali  dan goreng ayam hingga separuh masak. Begitu juga dengan kentang di goreng separuh masak.
  • Ambil periuk dan masukkan minyak masak dan tumislah bahan kisar tadi dan dimasukan belacan dan kacau sehingga naik aroma dan garing.
  • Masukkan santan dan kacau seketika  dan kemudian masukkan ayam dan kentang dan gaul.
  • Masukkan air secukupnya dan kacau sehingga mendidih atau kuah menjadi pekat 
  • Tutup api dapur dan boleh di hidangkan. Taburkan hirisan daun limau purut ke atas hidangan.
SELAMAT MENCUBA

Monday, June 1, 2015

Daging Masak Hitam.

Salam Semua....hari ini aku nak berkongsi masakan yang biasa di hidangkan di pagi raya dan sedap di makan bersama dengan nasi empit ataupun lemang. Kaedah membuatnya mudah dan ringkas dan semestinya menyelerakan.

Daging Masak Hitam

Bahan-Bahan Yang Digunakan:

  • Daging - 500 gram di potong nipis/ dadu. 
  • Jintan Manis - 1 sudu besar (*)
  • Jintan Putih  - 1 sudu besar (*)
  • Ketumbar - 1 sudu teh (*)
  • Minyak Masak - 2 sudu besar
  • Kicap Pekat - 5 sudu besar
  • Air Perahan Asam Jawa - 1/2 cawan
  • Bawang Goreng - segenggam,
  • Air secukupnya
  • Garam dan Gula sebagai perasa
(*) - Di tumbuk dan dibancuh dengan sedikit air

Bahan-Bahan Kisar:
  • Bawang Merah - 10 ulas
  • Bawang Putih - 3 ulas
  • Halia - 1 1/2 inci
  • Lada kering - 15 tangkai

Cara Membuatnya:
  • Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang telah dikisar dan dicampur dengan bancuhan jintan manis.jintan putih dan ketumbar. Tumis sehingga wangi.
  • Masukkan daging dan sedikit air da biarkan daging lembut.
  • Apabila sudah lembut, masukkan kicap dan juga air asam jawa 
  • Masukan garam dan gula sebagai perasa dan masukkan bawang goreng dan gaul sehingga sebati.
  • Reneh daging tersebut sehingga pekat dan pecah minyak
  • Apabila sudah masak bolehlah dihidangkan.
SELAMAT MENCUBA